sumber : http://www.pasirmas.com
Bagaimana Mengatasi Kebimbangan
Jika seseorang berada dalam kebimbangan, untuk mengatakan “jangan bimbang” adalah bukan suatu nasihat yang efektif. Apa yang penting ialah memahami secara psikologi apa itu kebimbangan dan menghadapi sesuatu masalah dengan minda yang kreatif dan tidak tertekan.
1. Kenali apa itu “bimbang”.
- Bimbang itu adalah apabila minda memegang gambaran terhadap perkara yang tidak diingini, dan perkara tersebut belum lagi berlaku. Apabila kita merasa takut sesuatu perkara itu akan berlaku, maka kita akan dikuasai kebimbangan. Tetapi bukankah perkara yang kita takuti itu belum lagi berlaku. Mengapa kita harus takut dan bimbang terhadap perkara yang belum berlaku? Kita masih boleh mengambil langkah-langkah pencegahan.
2. Bersolat dan berdoa.
- Solat tahajud. Dengan bersolat tahajud antibodi akan menjadi kuat, bukan sahaja untuk melawan penyakit, tapi juga membina ketahanan diri menempuh masalah hidup, dan merangsang daya kreativiti yang dapat digunakan untuk memikirkan jalan penyelesaian masalah.
- Dengan berdoa pada Allah maka kita menyerahkan pokok permasalahan pada yang paling berkuasa, iaitu Pencipta alam ini yang berkuasa untuk menyelesaikan masalah kita walau serumit mana pun ia.
3. Bersikap redha.
- Kenapa redha? Sifat redha ialah menerima apa yang berlaku dan segala kemungkinan. Apabila seseorang bersikap redha, jiwa akan bersedia untuk menghadapi sebarang kondisi terburuk. Dengan itu jiwa tidak akan tertekan. Tekanan jiwa akan menghalang daya fikir dari berkreativiti menyelesaikan keadaan.
4. Anggap masalah sebagai cabaran.
- Anggaplah masalah yang sedang dihadapi itu sebagai suatu cabaran yang dihidangkan untuk anda selesaikan. Fikirkan secara kreatif cara-cara yang boleh diguna pakai.
- Dengan anggapan seperti ini minda tidak akan tertekan, maka dapat melorongkan kreativiti.
5. “Apa-apa yang tidak dapat membunuh, hanya menjadikan anda lebih kuat”.
- Sesuatu masalah dalam hidup, akan memberikan apa yang dipanggil “pengalaman”. Pengalaman menjadikan diri lebih kuat dan bijak dari sebelumnya.
6. Apa gunanya kawan?
- Jika tidak mampu menghadapi sendirian, kaedah bertanya kawan boleh digunakan. Mungkin mereka boleh memberi cadangan bernas kerana minda mereka tidak tertekan dengan masalah yang sedang anda hadapi. Itulah gunanya berjemaah dalam Islam.
7. “Masalah mereka lebih berat”.
- Bila dirundung kebimbangan, fikirkan tentang orang lain yang menghadapi masalah yang lebih berat dari anda. Dengan cara ini dapat mengurangkan tekanan kerana bersyukur tuhan tidak menimpakan masalah seberat orang lain.
8. Tolong selesaikan masalah orang lain.
- Apa yang kita beri akan datang kembali dengan kebaikan yang lebih baik. Dengan menolong menyelesaikan masalah orang lain akan memberikan suatu kelegaan pada jiwa. Dan keadilan Tuhan tetap berlaku, jika kita berbuat baik pada orang lain, nescaya balasan baik pula yang didapati dari Tuhan.
0 comments:
Post a Comment